Pages

23 Ogos 2010

Nabi Idris Naik Ke Langit


Diriwayatkan Nabi Idris naik ke langit pada hari Isnin. Firman Allah bermaksud: ''Dan ceritakanlah (Wahai Muhammad kepada mereka) kisah Idris di dalam Al Quran. ''Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. Dan Kami mengangkatnya ke martabat yang tinggi''. (Surah Maryam ayat 56-57).

Nama sebenar Nabi Idris ialah 'Akhnukh'. Baginda dinamakan Idris kerana banyak membaca, mempelajari kitab Allah. Setiap hari Nabi dris menjahit qamis (baju kemeja) dan apabila memasukkan jarum, Baginda mengucapkan tasbih. Selepas baju itu siap, ia diserahkan kepada orang yang menempah tanpa meminta upah. Dalam keadaan itu, Nabi Idris masih mampu beribadah dengan amalan yang sukar digambarkan sehingga Malaikat Maut amat rindu berjumpanya.

Lalu Malaikat Maut bermohon kepada Allah menemui Nabi Idris. Selepas memberi salam, malaikat pun duduk. Nabi Idris mempunyai kebiasaan berpuasa sepanjang masa. Apabila waktu berbuka, datanglah malaikat dari syurga membawa makanan lalu Baginda menikmati makanan itu. Baginda beribadah sepanjang malam. Pada suatu malam Malaikat Maut datang menemuinya, sambil membawa makanan dari syurga. Nabi Idris menikmati makanan itu. ''Wahai tuan, marilah kita nikmati makanan ini bersama-sama''. Tetapi malaikat itu menolaknya.

Nabi Idris melanjutkan ibadahnya, sedangkan Malaikat Maut setia menunggu sampai terbit matahari. Nabi Idris hairan melihat sikap malaikat itu. Kemudian baginda berkata: ''Wahai tuan, mahukah bersiar-siar bersama saya melihat keindahan alam sekitar?'' Malaikat Maut menjawab: ''Baiklah wahai Nabi Allah Idris''. Maka berjalanlah mereka melihat alam persekitaran dengan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan hidup di situ. Akhirnya ketika mereka sampai pada suatu kebun, maka Malaikat Maut berkata kepada Nabi Idris: ''Wahai Idris, adakah tuan izinkan saya mengambil ini untuk dimakan?''

Nabi Idris pun menjawab: ''Subhanallah, mengapa malam tadi tuan enggan makan makanan halal, sedangkan tuan mahu memakan yang haram pula?'' Kemudian Nabi Idris dan Malaikat Maut meneruskan perjalanan mereka. Tidak terasa mereka bersiar-siar selama empat hari. Selama bersahabat, Nabi Idris menemui beberapa keanehan Malaikat Maut. Segala tindak-tanduknya berbeza dengan sifat manusia biasa.

Akhirnya Nabi Idris tidak dapat menahan hasrat ingin tahu. Baginda bertanya: ''Wahai tuan, bolehkah saya tahu, siapakah tuan sebenarnya?'' ''Saya adalah Malaikat Maut''. ''Tuankah yang bertugas mencabut nyawa semua makhluk?'' ''Benar ya Idris''. ''Sedangkan tuan bersama saya selama empat hari, adakah tuan akan mencabut nyawa makhluk?'' ''Wahai Idris, selama empat hari ini banyak sekali nyawa yang saya cabut. Roh makhluk itu bagaikan hidangan di hadapanku, aku ambil mereka bagaikan seseorang sedang menyuap makanan''. ''Wahai Malaikat, apakah tujuan tuan datang, apakah untuk ziarah atau mencabut nyawaku?'' ''Saya datang menziarahimu dan Allah mengizinkan niatku itu''.

''Wahai Malaikat Maut, kabulkanlah satu permintaanku iaitu agar tuan mencabut nyawaku, kemudian tuan mohon kepada Allah menghidupkan saya kembali, supaya aku dapat menyembah Allah selepas merasakan dahsyatnya sakaratul maut itu''. Malaikat Maut menjawab: ''Sesungguhnya saya tidaklah mencabut nyawa seseorang melainkan izin Allah''. Lalu Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut, agr mencabut nyawa Idris. Maka tercabutlah nyawa Idris saat itu dan Baginda merasakan kematian.

Ketika melihat kematian Nabi Idris, Malaikat Maut menangis. Dengan rasa hiba dan sedih, dia bermohon Allah menghidupkan kembali sahabatnya itu. Allah mengabulkan permohonannya, dan Nabi Idris pun dihidupkan Allah kembali. Malaikat Maut memeluk Nabi Idris, dan bertanya: ''Wahai saudaraku, bagaimanakah tuan merasakan kesakitan mauit itu?'' ''Bila seekor binatang dilapah kulitnya ketika ia masih hidup, sakitnya maut itu seribu kali lebih sakit daripadanya''. ''Padahal kelembutan yang saya lakukan terhadap tuan, ketika mencabut nyawa tuan belum pernah saya lakukan terhadap sesiapa pun sebelum tuan''.

''Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai permintaan iaitu saya teringin melihat neraka, supaya dapat beribadah kepada Allah lebih banyak selepas meyaksikan dahsyatnya api neraka itu''. ''Wahai Idris, saya tidak dapat ke neraka tanpa izin Allah''. Akhirnya Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut agar ia membawa Nabi Idris ke neraka. Di neraka itu, Nabi Idris melihat semua yang diciptakan Allah untuk meyeksa musuh-Nya seperti rantai panas, ular berbisa, kala, api yang membara, timah yang mendidih, pokok yang penuh berduri serta air panas mendidih.

Selepas itu, mereka pun pulang. Nabi Idris berkata: ''Wahai Malaikat Maut, saya berhajat agar tuan membawa saya ke syurga supaya dapat melihat apa-apa yang disediakan Allah bagi kekasih-Nya. Ini dapat meningkatkan lagi ibadah saya kepada Allah. ''Saya tidak dapat membawa tuan masuk ke syurga tanpa perintah dari Allah'', jawab Malaikat Maut. Lalu Allah memerintahkan Malaikat Maut membawa Nabi Idris ke syurga.

Mereka sampai di pintu syurga dan melihat pemandangan di dalamnya. Baginda melihat segala kenikmatan disediakan Allah untuk wali-Nya seperti buah-buahan, pokok yang indah dan sungai yang mengalir. Kemudian Nabi Idris berkata: ''Wahai saudaraku Malaikat Maut, saya merasakan pahitnya maut dan saya melihat dahsyatnya api neraka. ''Maka mahukah tuan memohonkan kepada Allah untukku, agar Allah mengizinkan aku memasuki syurga untuk dapat meminum airnya, untuk menghilangkan kesakitan mati dan dahsyatnya api neraka?''

Malaikat maut pun bermohon kepada Allah. Kemudian Allah memberi izin. Nabi Idris masuk ke syurga dan meletak kasutnya di bawah salah satu pohon lalu keluar dari syurga. Apabila di luar, Nabi Idris berkata ''Wahai Malaikat Maut, aku meninggalkan kasutku di syurga''. Malaikat Maut pun berkata: ''Mauklah ke syurga dan abil kasut tuan''. Maka masuklah Nabi Idris, namun baginda tidak keluar lagi, sehingga Malaikat Maut memanggilnya: ''Ya Idris, keluarlah!'' ''Tidak, wahai Malaikat Maut, kerana Allah SWT berfirman bermaksud: Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. (Surah Ali-Imran ayat 185).

''Sedangkan saya merasakan kematian. Dan Allah berfirman yang bermaksud: Dan tiada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu. (Surah Maryam ayat 71). Maka Allah menurunkan wahyu kepada Malaikat Maut itu: ''Biarkanlah dia, kerana Aku menetapkan di azali, bahawa tempat tinggalnya di syurga''.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih di atas kesudian komen kalian