Click Here For Free Blog Templates!!!
Blogaholic Designs

Pages

18 Mac 2009

SYURGA DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU

Kisah ini berlaku hampir beberapa tahun yang lalu, seorang ibu tua dibawa oleh anak lelakinya yang tinggal di bandarmenziarahi ahli keluarga di sebuah kampung.

Sekembali dari tempat ziarah, si ibu kelihatan terkocoh-kocoh, pantas berlari keluar dari kereta.Langkahnya agak tergopoh-gopoh menaiki anak tangga rumah. Fikir si anak yang masih belum sempat menarik handbrake keretanya, pasti si ibu bergegas untuk segera menunaikan solat Mahgrib kerana azan telah berkumandang di surau yangberdekatan.

Tapi bila dia mula menjejaki anak tangga, "Subhanallah! " si anak terkejut melihat najis mula berjejeran di anak tangga dan di laman rumah. "Mak sakit perut rupanya", bisik hatinya. Tanpa berlengah segera disingsingnya lengan baju dan kaki seluar. Najis disodok dan dibuangkan.


Getah paip ditarik lalu dialirkan air menuruni anak tangga. Ibu yang sudah selesai membersihkan diri dan solat Maghrib terkocoh-kocoh sekali menanggalkan telekung, mencapai baldi dan gayung dalam langkah terhincut-hincut cuba menuruni anak tangga. Terpana si ibu di muka pintu melihat anak-anak tangga sudah dimop bersih, seperti hilang akal sejenak. "Tak sembahyang Maghrib ke?" Tanya ibu kepada si anak dalam keadaan serba-salah. "Tak apalah, mak, saya musafir, Maghrib tu dijamak takhir dengan Isyak nanti". Si ibu tak terkata apa.

Tangan kanan masih memegang baldi. Tangan kiri pula memaut grill pintu. Matanya terus memerhatikan si anak, dalam hati penuh sebak dan keharuan, mengucap puji syukur pada Allah kerana anak yang diasuh sebesar dua tapak jari, dicucikan najisnya setiap hari itu, buat pertama kalinya menyucikannajis ibunya pula hari ini. "Ya Allah! begini mulia rahmatmu mengurniakan hambamu ini anak yang soleh, dia mengenang jasa Ya Allah! dan membalas budi, aku bersyukur pada Mu... aku bersyukur pada Mu Ya Allah!" sempat si ibu memanjatkan doa dalam hati. Terasa benar maruahnya dihargai, tawaduk sungguh mengecapi nikmat kasih...

Rentetan dari peristiwa ini, dapat dilihat keberkatan dalam hidup si anak kerana apa saja kerja yang dibuat terasa dipermudahkan oleh Allah. Inilah yang dikatakan keberkatan memuliakan insan yang dimuliakan oleh Allah S.W.T. Hadis Nabi S.A.W bermaksud: "Hinalah umatku, di mana dalam sisa usia orang tua mereka, tidak dimanfaatkan apa-apa untuk meraih rahmat dari Allah S.W.T".

Sama-samalah kita menghayati kisah menyentuh perasaan dan suka duka wanita bergelar ibu. Mulianya ibu tiada tandingan. Namun dalam pada kita mengejar kemodenan dan keselesaan hidup di muka bumi ini, ingatkah kita pada wajah tua ibu kita yang telah melahirkan dan membesarkan kita hingga menjadi manusia? Sesungguhnya terlalu banyak hikmat dan nikmat yang kita perolehi daripada wanita yang kita panggil IBU ini.

2 patah-patah kata:

dina berkata...

Kasih ibu memang tiada galang gantinya. Bagaimana seorang ibu menjaga seorang anak, begitulah nanti seorang anak menjaga ibunya semasa tua.

Jieda berkata...

Aku selalu dengar SEORANG IBU BOLEH MENJAGA SEPULUH ORANG ANAK TAPI ADAKAH SEPULUH ORANG ANAK MENJAGA IBUNYA YANG HANYA SEORANG